Sunday, August 14, 2011

Mengambil Peluang..

Sebenarnya bulan Ramadhan ni kita patut beribadah sebanyak yang mungkin dan memohon ampun sentiasa. Di bulan yang mulia ini, pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan dirantai. Allah SWT memberi peluang kepada umatNya untuk diampunkan segala dosa dan dimasukkan ke dalam syurga.


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Apabila datangnya bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga dibuka, manakala pintu-pintu neraka ditutup, syaitan dirantaikan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Amat rugilah jika seseorang itu tidak dapat pengampunan dr Allah SWT dalam bulan yang pnuh keberkatan ini. Rahmat Allah di bulan Ramadhan ini sangat banyak dan sentiasa mencurah-curah untuk umat yang bertakwa dan sentiasa berdoa kepada-Nya.

Kaab bin Ujrah menceritakan suatu kisah menarik daripada Rasulullah S.A.W di mana baginda bersabda: Hampiri mimbar! Lalu kami semua menurutinya, ketika baginda melangkah ke tangga yang pertama baginda mengatakan:Amin. Apabila baginda melangkah tangga yang kedua baginda mengatakan:Amin, begitulah apabila baginda melangkah tangga yang ketiga. Lalu kami bertanyakan tentang maksud perbuatannya itu, baginda menjawab:Aku didatangi Jibrail a.s mengatakan kepadaku:Jauhlah (rugilah orang yang sempat dengan Ramadhan tetapi tidak mendapat pengampunan. Aku pun menyahut dengan berkata:Amin. Di tangga yang kedua Jibrail mengatakan:Jauhlah orang yang apabila disebut namamu (Muhammad) dia tidak mengucapkan selawat ke atasmu, aku pun menyahut:Amin. Di tangga yang ketiga Jibrail mengatakan:Jauhlah orang yang sempat dengan kedua-dua orang tuanya yang sudah uzur atau salah seorang mereka, tetapi mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Aku pun mengatakan:Amin. 


Sesiapa yang tidak usaha untuk mengambil peluang ini diibaratkan seperti seseorang yang miskin dan banyak hutangnya, lalu dilemparkan wang yang terlalu banyak dihadapannya tetapi tidak pula diusahakan untuk mengambil wang itu.


Puasa dibulan Ramadhan ini boleh menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan dahulu.


Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda; Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Jadi, ambil lah peluang yang masih ada untuk bertaubat dan beribadah sebanyak mungkin, bukan setakat puasa dan solat, malah semua amalan sunat lain. Semoga ibadah kita diterima dan kita mendapat rahmat Allah SWT di akhirat kelak. 



No comments:

Post a Comment